Wednesday, November 24, 2010

INFO SIHAT : JOM SENAMAN !!!

Senaman kawal kencing manis

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
norlaila@hmetro.com.my

“ADAKAH senaman hujung minggu selama dua setengah jam memberi kesan sama dengan bersenam 30 minit sehari yang dilakukan lima hari berturut-turut? Walaupun hanya bersenam satu atau dua kali, jumlah waktunya sama. Jadi, sepatutnya kesannya juga sama, bukan?” soal seorang teman.

Jawapannya: Tidak. Ini jawapan yang diberikan Ketua Jabatan dan Perunding Perubatan Kanan, Jabatan Perubatan Hospital Taiping, Dr Letchuman Ramanathan. Tidak kira perkara apa pun sama ada soal makan, amal ibadat mahu pun penjagaan kesihatan, yang penting ialah konsisten atau istiqamah; iaitu ia dilakukan secara berterusan; apatah lagi bagi mereka yang menghidap penyakit gaya hidup termasuklah kencing manis.

Kencing manis kini ancaman besar kepada penduduk dunia terutama di Asia; dengan gaya hidup kita hari ini dan semua orang berpeluang mendapat kencing manis kerana risikonya bertambah dengan peningkatan umur. Kajian Kesihatan dan Morbiditi 2006 mendapati 14.9 peratus rakyat negara kita yang berumur 30 tahun ke atas menghidap kencing manis berbanding hanya 8.3 peratus pada 1996.

Antara kaedah terbaik mengawal kencing manis ialah bersenam dan menjaga pemakanan. Ramai pakar kesihatan bersetuju senaman perlu dijadikan preskripsi iaitu ia perlu diambil (dilakukan) setiap hari; bukan untuk pesakit saja bahkan semua orang. Ini kerana senaman boleh mengurangkan risiko kencing manis sebanyak 66 peratus.


Jadi, kenapa perlu bersenam setiap hari dan tidak boleh ‘dikumpul’ untuk dilakukan pada hujung minggu? Menurut Dr Letchuman, kencing manis jenis 2 yang dihidapi 90 peratus pesakit disebabkan badan mungkin tidak menghasilkan cukup insulin (yang bertindak sebagai pengangkut gula dari dalam darah masuk ke sel) atau badan hilang sensitiviti terhadap insulin (keadaan ini dipanggil kerintangan terhadap insulin) dan mengakibatkan insulin tidak diguna dengan sebaik-baiknya. Kesannya, makin banyak gula terkumpul dalam darah.


“Bersenam mempunyai kesan legasi iaitu ia mampu mengurangkan kerintangan terhadap insulin dan kesan ini boleh berlanjutan sehingga 48 jam. Jadi, sensitiviti badan terhadap insulin meningkat dan boleh menggunakan insulin untuk mengangkut gula dari darah masuk ke dalam sel. Jadi, jumlah gula dalam darah akan menurun.

“Jika kita bersenam setiap hari, kesan legasi ini akan berterusan dan membolehkan paras gula darah sentiasa berada dalam julat normal. Inilah sebabnya kita tidak boleh tunggu hingga hujung minggu saja untuk bersenam. Setiap orang sepatutnya bersenam 30 minit sehari; lima hari seminggu atau jumlah terkumpul 150 minit seminggu jika ia dilakukan selang sehari,” katanya.

Menurutnya, perubahan gaya hidup dengan menjaga pemakanan dan bersenam boleh melengahkan kemunculan penyakit kencing manis terutama bagi golongan berisiko tinggi iaitu yang mempunyai ibu dan ayah penghidap kencing manis serta mempunyai masalah berat badan berlebihan.

“Peningkatan harga gula bukanlah perkara buruk, ia mempunyai manfaat tersirat. Ia secara tidak langsung menyedarkan kita semua untuk mengurangkan penggunaan gula dalam semua makanan dan minuman yang sekali gus membantu memudahkan kawalan penyakit.

“Sebenarnya kita tidak memerlukan gula. Ia hanyalah untuk memuaskan selera lidah. Badan masih boleh mendapatkan gula daripada sumber karbohidrat seperti nasi, mi, bihun, pasta, kentang, ubi dan semua makanan berkanji. Lebih lama badan terdedah kepada gula, makin banyak kerosakan yang berlaku pada tisu,” katanya pada bengkel Kawalan Glisemik dan Pengurangan Risiko Kardiovaskular anjuran GlaxoSmithKline (GSK) sempena Hari Diabetes Sedunia yang disambut pada 14 November setiap tahun.

Senaman membantu usaha mengawal kencing manis dengan:

  • Memperbaiki keupayaan badan menggunakan insulin;

  • Membakar lebihan lemak, sekali gus membantu mengurangkan berat badan. Pengurangan lemak badan akan meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin;

  • Memperbaiki kekuatan otot;

  • Meningkatkan ketumpatan dan kekuatan tulang;

  • Merendahkan tekanan darah;

  • Memperbaiki dan melancarkan aliran darah;

  • Mengurangkan paras kolesterol buruk dan meningkatkan kolesterol baik, sekali gus memberi perlindungan daripada penyakit jantung;

  • Mengurangkan tekanan dan merangsang penghasilan hormon yang membuat kita berasa tenang dan seronok.

    Dr Letchuman mengakui kencing manis adalah antara penyakit yang sukar dikawal di negara kita. Ada banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini seperti:

  • Pengambilan makanan yang berlebihan dan kurang bersenam;

  • Penyakit lewat dikesan. ramai tidak sedar mereka menghidap kencing manis kerana gejala awalnya tidak jelas. Ini menyebabkan 50 peratus pesakit lewat mendapatkan rawatan;

  • Pesakit bertindak merawat diri sendiri dengan mencuba pelbagai jenis ubat, rawatan alternatif dan persediaan tradisional;

  • Pesakit tidak mematuhi jadual pengambilan ubat; keberatan menjalani rawatan atau bimbang terhadap penggunaan insulin. Salah anggapan terhadap insulin menyebabkan ramai mencuba rawatan alternatif sedangkan insulin boleh membantu memperlahankan perkembangan penyakit;

  • Bimbang kesan sampingan ubat seperti dilihat pada pesakit lain. Pesakit tidak perlu gusar kerana ubat untuk setiap individu berbeza mengikut tahap penyakit masing-masing. Jika ada kesan sampingan, berbincanglah dengan doktor supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

    Senaman apakah yang baik untuk pesakit kencing manis? Pesakit boleh melakukan semua jenis senaman aerobik mengikut kemampuan mereka. Senaman yang paling mudah ialah berjalan kerana ia boleh dilakukan bila-bila masa dan di mana-mana saja hatta di dalam rumah.

    Bagaimanapun, jika anda tidak pernah bersenam, dapatkan nasihat doktor mengenai senaman yang sesuai untuk anda dan dalam keadaan bagaimana anda tidak boleh bersenam atau perlu berhenti bersenam.

    “Apabila doktor kata anda perlukan suntikan insulin, jangan panik dan takut. Suntikan insulin bukan bermakna penyakit anda sudah sampai ke peringkat akhir. Ia boleh memperlahankan atau melengahkan perkembangan penyakit.

    “Jika doktor mencadangkan anda mengambil suntikan insulin, cuba untuk seminggu dan lihat perubahan yang berlaku pada anda. Jika suka boleh teruskan dan jika tidak, boleh kembali kepada ubat.

    “Berdasarkan pengalaman, kebanyakan pesakit berkata kualiti hidup mereka lebih baik selepas mengambil suntikan insulin. Mereka juga tidak lagi kerap bangun malam untuk membuang air kecil,” katanya.

    Mengawal kencing manis bukan saja membuatkan anda lebih selesa, juga mengurangkan risiko mendapat:

  • Penyakit jantung;

  • Strok;

  • Penyakit mata yang boleh menyebabkan kehilangan penglihatan atau kebutaan;

  • Kerosakan saraf pada tangan, kaki atau bahagian lain badan. Ia juga antara punca utama kaki pesakit dipotong kerana apabila saraf rosak, pesakit hilang sensitiviti terhadap rasa sakit. Malah ia juga kerap mengakibatkan pesakit lelaki mati pucuk atau erektil disfungsi.

  • Kegagalan buah pinggang;

  • Penyakit gusi yang menyebabkan kehilangan gigi;

    Pengarah Yayasan Jantung Malaysia, Datuk Dr Khoo Kah Lin; berkata kencing manis yang bertambah teruk boleh memberi kesan buruk kepada salur darah yang menyebabkan pelbagai penyakit. Jika salur darah besar yang terbabit; ia boleh mengakibatkan strok, serangan jantung dan masalah pada kaki (antara penyebab kaki pesakit terpaksa dipotong).

    Kerosakan salur darah halus akibat kencing manis biasanya berlaku pada mata (retinopati diabetes atau kebutaan), kegagalan buah pinggang dan saraf pada kaki.

    “Serangan jantung adalah pembunuh utama di kalangan pesakit kencing manis. Pesakit kencing manis mempunyai risiko meninggal dunia dua hingga tiga kali lebih tinggi akibat serangan jantung berbanding orang normal. Oleh kerana ramai pesakit lewat berjumpa doktor, biasanya ketika kencing manis dikesan, mereka sudah mengalami pelbagai masalah salur darah yang meningkatkan risiko mendapat serangan jantung.

    “Selain pengambilan ubat, saya selalu beri preskripsi diet kepada pesakit kencing manis iaitu isikan separuh pinggan dengan sayur-sayuran, satu perempat untuk sumber karbohidrat (contohnya nasi, mi, roti) dan satu perempat lagi untuk sumber protein sama ada ikan, ayam atau daging,” katanya.
  • Friday, November 19, 2010

    Wasiat Rasulullah SAW

    HADIS 28

    عن أب نجيح العرباض بن ساریة t قال: (( وعظنا رسول الله e موعظة وجلت منها

    القلوب، وذرفت منها العيون فقلنا: یا رسول الله آأنها موعظة مودع فأوصنا. قال: أوصيكم

    بتقوى الله عز وجل، والسمع والطاعة وإن تأمر عليكم عبد، فإنه من یعش منكم بعدي

    فسيرى اختلافا آثيرا فعليكم بسنتي وسنة الخلفاء الراشدین المهدیين، عضوا عليه ا

    بالنواجذ، وإیاآم ومحدثات الأمور، فإن آل بدعة ضلالة )) رواه أبو داود والترمذي وقال:

    حدیث حسن صحيح.

    Hadis riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi. al-Tirmizi berkata ia hadis sahih.


    Daripada Abu Najih al-'lrbadh ibn Sariyah r.a. beliau berkata:
    Rasulullah SAW telah menasihati kami suatu nasihat yang menggetarkan hati dan mencucurkan airmata.

    Kami berkata: Ya Rasulullah! la seolah-olah nasihat orang yang mahu mengucapkan selamat
    tinggal, maka berikanlah kami wasiat.

    Baginda bersabda:

    Aku mewasiatkan kamu supaya bertaqwa
    kepada Allah 'Azza Wajala, supaya mendengar dan taat, sekalipun kamu diperintah oleh seorang hamba.

    Sesungguhnya, barangsiapa di kalangan kamu yang masih hidup nanti, necaya dia akan melihat
    banyak perselisihan. Maka hendaklah kamu mengikuti sunnahku dan sunnah khulafa' Rasyidin yang mendapat hidayat. Gigitlah ia dengan kuat (iaitu berpegang teguhlah kamu dengan sunnah-sunnah tersebut) dan berwaspadalah kamu dari melakukan perkara-perkara yang diada-adakan, kerana setiap perkara yang diada-adakan itu adalah bid'ah dan setiap bid'ah itu adalah sesat dan setiap kesesatan itu dalam neraka.

    Pengajaran hadis:
    (1) Ucapan nasihat dan peringatan adalah penting dalam kehidupan umat lslam. Pengajaran dan
    peringatan hendaklah disampaikan secara bersungguh-sungguh dan berkesan agar ia memberikan kesan positif kepada para pendengar.

    (2) Rasulullah SAW berwasiat dalam hadis ini beberapa perkara penting, antaranya; supaya bertaqwa kepada Allah SWT, patuh dan taat kepada pemerintah biarpun dia adalah orang yang berasal dari keturunan bawahan atau hamba 'abdi, kerana yang penting apa yang diperintahkan, bukan orang yang memerintah.

    (3) Masalah melantik hamba abdi menjadi ketua masih diperselisihkan oleh para ulama, namun
    Rasulullah SAW menyebut hal ini bagi menunjukkan peri pentingnya tuntutan patuh dan taat bagi
    seorang mukmin terhadap ketuanya selagimana perintahnya tidak bertentangan dengan syara'.

    (4) Umat akhir zaman diancam oleh perselisihan dan perpecahan. Justeru itu Nabi SAW berpesan agarumat Baginda berpegang teguh dengan sunnah Baginda SAW dan sunnah para khulafa' Rasyidin. Baginda menyeru mereka agar menggigit sunnah-sunnah tersebut. Ungkapan ini memberi erti betapa perlunya berpegang teguh dengan sunnah Nabi dan Khulafa' Rasyidin serta menjauhkan perkara bid'ah yang sesat, perkara yang diada-adakan dalam agama kerana semua bid'ah adalah kesesatan yang akhirnya membawa pengamalnya ke lembah neraka.

    adakah kita mengikuti segala nasihat rasulullah?
    tepuk dada tanya lah iman...
    jangan suka menunding jari pada orang lain...

    Pesanan untuk adik-adik

    Salam lebaran...
    i'dul adha buat semua sahabat pena di alam maya....
    Align Center

    kini sudah tiba musim cuti persekolahan...
    samalah kita isi ruang ini sebaik mungkin...


    menambah ilmu pengetahuan
    secara ziarah mahupun lawatan...
    membantu keluarga ringankan beban kerja
    akan mendapat pahala...


    buat semua adik-adik...
    jangan sia-siakan ruang cuti ini....
    isikan dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat
    demi kesejahteraan anda...
    ingat orang tersayang...
    luangkan masa bersama keluarga tercinta...


    selamat bercuti....
    ikhlas dari : e-One...