Friday, December 31, 2010

Lembaran Baru 2011

Salam semua...

salam tahun baru...

kita kini menjelang di ambang hujung tahun 2010 dan tahun 2011 adalah lembaran baru...
sejauhmanakah sumbangan kita untuk agama Islam?
sudahkah kita laksanakan semua amanah dan tanggungjawab dengan jujur?
adakah tercapai target kita?
bertambahkah amalan kita buat bekal di sana?

Ayuh marilah sama-sama kita muhasabah diri menjelang malam ini dengan merenung kembali segala amal yang kita telah lakukan.

Adakah ianya berfaedah untuk kita dan orang lain? atau hanya sekadar kepentingan diri sendiri?

Semoga dengan muhasabah diri kita akan menanamkan satu azam baru untuk berubah menjadi lebih baik dari sebelum ini. Berubahlah hanya kerana Allah bukan kerana MANUSIA.

Selamat Tahun Baru buat semua pembaca blog saya. Marilah sama kita doakan kebaikan bersama umat islam sedunia dan mukminin mukminat seantero dunia. Akhir kata salam penutup kalendar 2010. Selamat menyambut Tahun Baru 2011.

Thursday, December 16, 2010

Kelebihan 10 Muharram (16 Disember 2010)

Kelebihan Puasa 9 & 10 Muharram

Hadith-hadith tentang puasa hari ‘Asyura (10 Muharram)


Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).

Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura
Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)


Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)
Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:

Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).

Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".
(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih).

Wednesday, December 15, 2010

Boleh ke NON-MUSLIMS baca & terjemah quran ???

Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran

Keputusan:

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 3 Disember 2010 telah membincangkan Isu Orang Bukan Islam Membaca Dan Menterjemahkan Ayat-Ayat Suci Al-Quran. Muzakarah telah memutuskan:


“ Bahawa pada dasarnya bagi tujuan untuk mempelajari, memahami dan mendekatkan diri kepada ajaran Islam atau bagi tujuan untuk menjadikannya panduan hidup di dunia dan akhirat atau bagi tujuan dakwah, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak termasuk bukan Islam untuk membaca dan mendalami teks-teks suci Islam termasuk al-Quran dan tafsirannya. Tetapi ia hendaklah dilakukan dengan jujur dan ikhlas bagi tujuan tersebut dan bukan untuk kepentingan dan tujuan tertentu/peribadi, apatah lagi jika ianya dilakukan dengan kesalahan samada pembacaan atau huraiannya yang menyimpang dari kehendak sebenar teks-teks tersebut kerana perbuatan seperti ini boleh mencemarkan kesucian al-Quran dan Islam serta sekaligus menimbulkan keraguan, keresahan dan fitnah kepada masyarakat.


Maka dalam situasi yang berlaku di akhir-akhir ini, berdasarkan realiti dan fakta, ahli-ahli muzakarah sebulat suara berpendapat bahawa tindakan pemimpin-pemimpin politik bukan Islam menggunakan teks suci Islam termasuk al-Quran secara sewenang-wenangnya dan tidak menepati maksud yang sebenar di ceramah-ceramah politik, tidak menunjukkan ciri-ciri keikhlasan yang sebenarnya bagi mempelajari Islam. Oleh itu, perbuatan yang sedemikian boleh mendatangkan penghinaan berterusan terhadap kesucian Islam khususnya al-Quran sekiranya dibiarkan.


Justeru, bersesuaian dengan kaedah Usul al-Fiqh Sadd az- Zarai’, Muzakarah bersetuju bahawa perbuatan orang-orang bukan Islam membaca dan menghuraikan teks-teks al-Quran sewenang-wenangnya mengikut fahaman sendiri dengan tidak menepati maksud yang sebenar di samping tidak terdapat unsur-unsur keikhlasan dan kejujuran adalah merupakan suatu penghinaan terhadap kesucian al-Quran dan boleh mendatangkan keraguan dan fitnah di dalam masyarakat. Oleh itu, ianya perlu dihentikan dengan segera.


Muzakarah juga menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati agar tidak menyalahgunakan ayat-ayat suci al-Quran demi meraih sokongan atau mendapatkan sesuatu kepentingan.”

Hati-hati Memakai Inai Wahai Si Pengantin Baru !!!

Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Keputusan:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
  1. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

  2. Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

  3. Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Fatwa INSURANS KONVENSIONAL terkini !!!

Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-89 yang bersidang pada 14 - 16 Disember 2009 telah membincangkan Hukum Mempromosikan Produk Insurans Konvensional Menurut Perspektif Syariah. Muzakarah berpandangan bahawa sistem takaful berlandaskan syariah sedang pesat berkembang dan memerlukan sokongan umat Islam dalam usaha untuk memartabatkan sistem muamalat Islam. Sehubungan itu, Muzakarah memutuskan bahawa orang Islam adalah dilarang mempromosikan produk insurans konvensional yang jelas berasaskan sistem riba. Walau bagaimanapun, pendapatan atau komisyen yang diterima dalam proses transisi dari sistem konvensional kepada takaful adalah dimaafkan.

Keterangan/Hujah:
  1. Hukum terhadap insurans konvensional adalah jelas keharamannya mengikut kesepakatan para ulama’ kerana ia mempunyai elemen tidak patuh syariah iaitu riba, gharar dan maisir.
  2. Keharaman muamalah riba tidak terhenti setakat amalan itu sahaja, bahkan Allah SWT telah mengisytiharkan perang kepada pemakan-pemakan harta riba. Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah mengemukakan pandangan bahawa bekerja di bank adalah dibenarkan selagi mana tidak berinteraksi secara terus dengan kontrak riba.
  3. Para sarjana Islam semasa bersepakat mengatakan bahawa sebarang pekerjaan yang berurusan secara terus (direct) dengan kontrak riba adalah haram kerana termasuk dalam larangan Nabi SAW yang membawa kepada laknat. Ijtihad para sarjana Islam dalam menghukumkan keharaman pekerjaan yang bersangkutan dengan amalan riba contohnya di sektor ribawi adalah bertepatan dengan kaedah kulliyyah yang menyebut :

    " ما حرم أخذه حرم إعطأوه "

    Maksud: Sesuatu yang haram menerimanya juga diharamkan memberinya.

  4. Dalam erti kata lain, kaedah ini membawa maksud apa sahaja perkara haram diambil atau mengambilnya, haram juga hukumnya memberikan kepada orang lain. Illahnya ialah ia akan membantu atau menolong kepada perbuatan yang diharamkan.
  5. Dalam kes mempromosi produk-produk insurans konvensional, para ejen sememangnya bertugas untuk memasarkan produk-produk konvensional yang telah diputuskan haram secara sepakat. Maka dengan sebab itu, hadith Nabi SAW yang jelas melarang umat Islam daripada terlibat dengan urusan dan perniagaan ribawi iaitu yang bermaksud: ”Rasulullah SAW melaknat pemakan riba, pemberi wakilnya, pencatatnya dan dua saksinya. Nabi SAW bersabda: Semuanya sama-sama dilaknat” adalah terpakai dalam konteks ini. Walau bagaimanapun, bagi pekerja-pekerja yang tidak berurusan secara langsung dengan kontrak dan perniagaan riba, mengikut pandangan beberapa ulama’ seperti yang disebut di atas, pekerja-pekerja tersebut tidaklah dihukum mengikut hadith Nabi ini.
  6. Terdapat juga pandangan yang mengatakan selagi mana seseorang Muslim itu bekerja di bawah “bumbung” institusi yang mengamalkan sistem riba, pekerjaan mereka adalah ditegah kerana menyokong sistem yang dicela oleh Allah itu.
  7. Sistem insurans berlandaskan syariah sedang pesat berkembang pada masa ini dan umat Islam yang bekerja dalam sektor insurans konvensional berlandaskan sistem yang ditegah oleh Islam wajar memilih sistem yang berlandaskan syariah.
  8. Islam mengharamkan umatnya dari melibatkan diri dalam apa jua muamalah yang melibatkan riba kerana riba akan membawa kemusnahan kepada hidup manusia. Oleh itu tindakan mempromosikan atau mengajak orang lain menerima sesuatu yang berteraskan riba adalah jelas dilarang oleh Islam.
  9. Mereka yang bekerja dalam mempromosikan skim insurans konvensional berlandaskan riba perlulah berusaha dan bertekad bersungguh-sungguh untuk meninggalkannya dan dalam proses peralihan tersebut pendapatan yang diterima adalah halal dan dimaafkan oleh Islam.

Boleh ke Non-MUSLIMS Masuk Masjid ?

Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:
  1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.
  2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.
  3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.
  4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.

Status ESQ Terkini!!!

Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training

Keputusan:
Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 16 Jun 2010 telah membincangkan mengenai Kedudukan Kursus ESQ Leadership Training. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
  1. Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli serta rumusan awal yang telah dibuat pada Muzakarah Khas pada 14 April 2010, Muzakarah berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus ESQ Leadership Training boleh diperbetul dan diperjelaskan.
  2. Muzakarah bersetuju memutuskan supaya pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua aktiviti/perlakuan yang menimbulkan keraguan kepada masyarakat.
  3. Muzakarah juga bersetuju membuat ketetapan bahawa Panel Syariah ESQ perlu bertanggungjawab dan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan tersebut hendaklah dilaporkan secara berterusan kepada Muzakarah. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Kursus ESQ Leadership Training boleh dilaksanakan di Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya oleh Panel Syariah yang dilantik oleh ESQ.